Sabtu, 15 Januari 2011

Lam Alif 2

Seperti pos aku yang terdahulu, La (لا )( Lam Alif) merupakan rumusan atau inti pati bagi kalimah La Ilaha ilAllah ( لا إله إلا الله). Ini kerana kita telah menafikan segala yang wujud di alam ini dengan mengakui kewujudan (yang Qidam dan Baqa') hanya Allah ta'ala sahaja. Kalimah ini juga kadang kala digelar membinasakan kewujudan diri (dan alam ini) sekali gus menjadikan sekelian wujud ini wujud Majazi (sandaran) untuk membuktikan kewujudan Allah Ta'ala.

Agak susah bukan?

Bagaimana dengan yang ini:

Segala kewujudan zahir ini terdiri dari unit-unit kecil atom2. Ernest Rutherford melakukan sebuah eksperimen luar biasa yang kemudiannya berhasil mengunkapkan bahagian dalam dari isi atom. Para Saintis amat terkejut ketika mendapati bahawa bahagian dalam atom terdiri dari ruang kosong. Jadi bagai mana atom yang kosong itu membentuk tembok padat yang berada disekeliling kita?

Agaknya apa yang diisi oleh ruang kosong itu? adakah ia sebenarnya kosong atau ianya adalah bukti kewujudan tuhan yang kita kenali dengan 99 nama dan 20 sifatnya?



Isnin, 6 Disember 2010

Bunuh Ular itu!

Sebenarnya terdapat banyak contoh akan kehebatan bangsa melayu ni, hari ini aku nak kongsi salah satu darinya. Kalau korang perasan masa zaman bebudak kita sering mendengar lagu Bangau Oh Bangau. Satu lagu yang pernah pada satu masa disalah ertikan sebagai mengajar bebudak untuk lepas tangan. Bagi aku lagu ini sebenarnya bagus untuk Trouble Shooting kat Loji, kita tengok balik lirik dia:

Bangau oh bangau kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus Ikan tak mahu timbul!

Ikan oh ikan kenapa kau tak mahu timbul?
Macam mana aku nak timbul, rumput panjang sangat!

Rumput oh rumput kenapa kau panjang sangat?
Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku!

Kerbau oh kerbau kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan, perut aku sakit!

Perut oh perut kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah!

Nasi oh nasi kenapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah, kayu api basah!

Kayu oh kayu kenapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah, hujan timpa aku!

Hujan oh hujan kenapa timpa kayu?
Macam mana aku tak timpa, katak panggil aku!

Katak oh katak kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil, ular nak makan aku!

Ular oh ular kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan, memang makanan aku!

(Jawapan Ular agak anggkuh bukan?)

korang perasan tak yang GURINDAM ini mengajar kita akan kaedah Root Cause Analysis dengan cara Why-Why.

Katakan produk kita adalah seekor burung Bangau yang gemuk dan katak adalah Pemula bagi Process Flow kita.

Tetiba produk kita Off-Spec dengan menjadi kurus. Perkara yang paling hampir dengan keadaan ini adalah faktor makanannya yang tidak mencukupi atau masalah pada bahagian Up-Stream. Kita boleh menangani masalah ini dengan membekalkan ikan dari pasar dengan menyediakan bekas ditepi Bangau, tetapi harus kita ingat yang Bangau yang kita janjikan kepada pelanggan adalah yang mempunyai ciri ciri yang semulajadi yang bermula dari katak. Dengan menyediakan ikan dari pasar kita sebenarnya tidak menyelesaikan masalah tetapi mencipta masalah baru. Langkah yang paling bijak adalah dengan mencari dimana bermulanya masalah didalam Process Flow dengan kaedah analisa melalui kenapa. Tanya kenapa sehingga ianya memuaskan persoalan kita (berdasarkan kaedah kejuruteraan dan pengalaman) jadi cara yang betul untuk menangai masalah ini adalah dengan membunuh Ular itu.

Disini aku nak kongsi satu cerita:

Terdapat satu Screw Conveyor yang membawa debu bahan kimia ke Hopper melalui discharge 50NB. Suatu hari Screw conveyor ini menghadapi masalah kerana lubang dischargenya tersumbat dan memaksa sistem ini dihentikan untuk proses Dechoking dimana penutup conveyor terpaksa dibuka. Kemudian keadaan ini semakin kerap berlaku, dan penyelesaiannya adalah dengan kaedah dechoking ini. Oleh kerana pihak Mekanikal sudah penat membuka dan menutup penutup Conveyor ini akhirnya penutupnya tidak lagi dipasang. Jalan penyelesaian yang dibuat adalah dengan mencipta satu Rod khas untuk proses Dechoking dan satu Inspection Door yang diikat dengan Fly Nut. Ini menjadi rutin terbaru Loji ini sehinggalah mereka mendapat aduan dari pelanggan yang produk mereka terdapat peratusan air yang tinggi. Apabila siasatan dilakukan, didapati peluh juruteknik yang melakukan operasi Dechoking telah menitik masuk kedalam sistem Conveyor. Bagi menyelesaikan masalah ini, satu SOP baru dibuat bagi operasi Dechoking dimana setiap juruteknik dipaksa memakai baju khas untuknya.

Nampak tak? bagaimana jika punca Discharge tersumbat dicari dan diselesaikan?
Anda pikir lah sendiri.


Khamis, 2 Disember 2010

Clit





Siang tadi GM baru Loji aku telah bermurah hati untuk berkongsi pengalamannya berkenaan 'Autonomous Maintenence' iaitu salah satu topik dari '8 Tiang TPM'. Antara petua yang diberikan dalam memastikan jangka hayat sesebuah alatan dapat dipanjangkan adalah 'CLIT'.
Jadi untuk selepas waktu kerja aku melakukan 'Google Search' bagi topik ini. Aku taip 'Clit' dan klik 'search' dan kat atas adalah beberapa gambar yang aku dapat.
CLIT yang GM aku ajar hari ini adalah singkatan bagi perkataan 'Cleaning, Lubricating, Inspection dan Tightening'. Keempat unsur ini merupakan perkara asas yang harus dilakukan atau diperiksa pada alatan didalam loji dan ianya amat mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa kepakaran sekalipun.
  1. Cleaning: Alatan seharusnya berada dalam keadaan bersih dan ini amat perlu untuk memastikan alatan itu berfungsi secara sempurna. Habuk, debu dan pelbagai perkara yang tidak sepatutnya berada disamping alatan hendaklah dibersihkan. Jika kotoran masih berulang setiap kali sesi pembersihan dijalankan ini bererti terdapat ketidak normalan kepadanya dan punca kepada kekotoran hendaklah dihapuskan, spt Pump Seal yang bocor.
  2. Inspection: Selepas alatan berada dalam keadaan bersih atau semasa proses pembersihan dengan menggunakan Penglihatan, Pendengaran, Bau dan Rasa kita akan dapat mengetahui yang alatan itu tidak berfungsi dengan baik. Spt bau hangit dan gegaran yang melampau
  3. Lubricating: Bagi alatan yang bergerak atau bergesel, pelincir adalah nadi utama mereka untuk bertahan.
  4. Tightening: Mengetatkan bahagian2 yang mana perlu diketatkan supaya ianya tidak mengakibatkan alatan tersebut beroperasi dengan keadaan tidak sempurna yang akhirnya menyebabkan kerosakan yang lebih teruk.

Jumaat, 24 September 2010

Compressors

(Klik untuk besarkan)
Apa khabar semua?
Kali ini aku nak berkongsi satu pengalaman aku dengan alat ini. Satu hari terdapat laporan dari tenaga kerja syif malam yang StandBy Compressor terpaksa dihidupkan kerana Header bagi Instrument Air telah jatuh. Masalah timbul apabila suhu Discharge untuk 1st Stage Compressor naik dengan mendadak, Amp yang tinggi dan menyebabkannya Trip dan semasa Compressor ini berjalan tekanan Header tidak bertambah baik. Kerana keperluan yang kritikal, permit kerja dikeluarkan kepada jabatan Mechanical. Secara kebetulan 'Kepala' Mechanical sedang bercuti tugasan diberikan kepada Jurutera muda. Jurutera muda ini sebenarnya baru sahaja bertugas kat Loji aku, memang dia berpengalaman selama 7 tahun kat kilang dulu, macam aku kata kat pos aku yang sebelumnya "Lain padang lain belalangnya". Dia mengambil tindakan yang agak bijak dengan mengambil nasihat dari juruteknik senior dan seorang Penyelia Proses yang sememangnya malas nak fikir panjang (banyak kerja lain bos). Memang aku ada kat loji tapi aku sibuk menyediakan dokumen RBI untuk dihantar kepada DOSH, jadi mereka tidak sempat bertanyakan kepakaran aku (?). Atas faktor pengalaman yang terdahulu keadaan ini terjadi kerana InterCondenser tersumbat. Oleh kerana kejadian berlaku dipenghujung syif malam (faktor utama kenapa Penyelia Syif malas nak layan) atur gerak tenaga kerja Mechanical agak perlahan. Banyak masa terbazir dan mengundang rasa kecewa dan marah Production Manager, Loji kini berada dihujung tanduk. Bagi mengelakkan Loji tutup awal, suber2 penggunaan Instrument Air dihadkan dan ianya sedikit sebanyak membantu. Apa yang malang selepas Inter Condenser dicuci perkara sama berulang. Apa yang sebenarnya berlaku?

Mengikut buku 'Chemical Process Equipment; Selection and Design' karangan bersama Walas dan rakan2, Kipas sekadar menaikkan tekanan sebanyak 3%, Blower pulak mencipta tekanan bawah 3 bar manakala yang boleh menaikkan tekanan lebih dari itu digelar Compressor (Percaya atau tidak, antara soalan temuduga aku dulu adalah perbezaan ketiga mende ni). Compressor berfungsi sebagai peningkat tekanan bagi Gas pada nilai yang diperlukan didalam Loji. Ia juga boleh dibahagi kepada dua jenis berdasarkan cara ia mencipta tekanan (spt pump). Compressor biasanya mengambil udara dari persekitaran jadi bagi menjaga bahagian dalamannya dari cepat rosak udara yang disedut ditapis dahulu. Proses pemampatan udara menghasilkan tenaga haba dan haba ini akan menyebabkan Gas akan mengembang dan menyebabkan kerja Compressor menjadi tidak efisien. Selain itu haba ini juga akan menyebabkan minyak pelincir (biasalah bos... bayangkan proses sorong tarik tanpa pelincir) cepat rosak. Untuk mengatasi masalah ini biasanya Condenser diletakkan samada di Discharge Compressor (bagi single stage) atau diantara Compressor (Bagi yang banyak stage). Bagi Compressor jenis Reciprocating, pemampatan Gas biasanya berlaku tanpa had iaitu selagi ia berfungsi selagi itu gas dimampatkan dan selagi itu tekanan akan bertambah melebihi had yang diperlukan. Bagi mengelakkan dari Compressor dan Receiver dari rosak satu sistem unloading akan dibuat. Sistem ini(Piston valve) akan terbuka apabila tekanan melebihi had tekanan yang diperlukan (Daya spring yang menutup Piston valve tadi) apabila tekanan berada dibawah daya spring, piston valve akan tertutup.

(Menceritakan perihal sistem Unloading ini teringat aku satu cerita, seorang Jurutera ditugaskan untuk melakukan Pneumatic Test bagi satu tangki dengan menggunakan Instrument Air (IA) yang berkekuatan 6 bar. Had maksimum yang boleh diterima oleh tangki itu adalah 12 bar. Apabila tiba waktu untuk pulang (0530 pm) Jurutera itu menutup injap kemasukan IA ke tangki tersebut padahal tekanan baru 0.5 bar dan ujian sepatutnya dilakukan pada tekanan 5.5 bar. Berdasarkan pengiraan, dengan isipadu yang mampu ditangani oleh tangki tersebut, pada pukul 1000 malam ia baru lah akan mencapai 6 bar. Tindakannya memberhentikan kemasukan IA itu mengundang rasa marah penyelianya kerana keesokannya tangki mesti diserahkan kepada pihak Mechanikal untuk proses penyambungan paip. Alasan yang diberikannya adalah, dia bimbang tekanan yang akan mencecah 13 bar iaitu mengatasi had maksima yang diberikan. Tidakkah dia tahu IA headernya stabil pada 6 bar sahaja? dari mana baki 6 bar akan datang kerana tekanan memenuhi ruang. Jika dia mengambil kira akan Compressornya yang dari jenis Rciprocating,. Tidakkah dia tahu akan sistem Unloading ini? Dia kini bertugas di sebuah Loji Kimia popular di kerteh.)

Jika udara yang keluar dari Compressor ingin digunakan sebagai sumber Pneumatic kegunaan Instrument, ianya mesti melalui satu sistem Drier yang membuang kandungan air didalamnya.

Baiklah, kembali pada persoalan diatas tadi. Simptom2 yang kita tahu:
  1. Tekanan Header tidak bertambah
  2. Suhu 1st Stage naik dengan mendadak
  3. Amp tinggi
Jadi jika simptom2 ini berlaku kat Loji korang nanti, jawapannya mungkin sama macam kes aku (untuk jimat masa):
  • Injap bagi discharge 1st Stage gagal dalam keadaan tertutup
  • Kerana itulah suhu naik dengan mendadak - haba tidak dikeluarkan
  • Kerja Compressor menjadi tinggi (Amp)
  • Tiada udara dikeluarkan dari 2nd stage - kerana itu ia tidak mampu membantu menaikkan tekanan Header.

Selasa, 21 September 2010

21 Kunci Pemimpin Efektif

Bebaru ini aku terbeli 2 buah buku dengan tajuk '21 Kunci Pemimpin Efektif' karya John C. Maxwell dan 'Seni Memimpin Gaya Al-Quran' karya Masnur Hamzah. Seperti tajuknya, keduanya berkisar kepada Kepimpinan. Buku yang pertama habis aku baca dalam masa 2 hari sahaja manakala buku kedua masih pada muka surat kelima belas dan aku sudah tidak bernafsu untuk membacanya. Bagi aku ianya amat mengecewakan kerana sebuah buku yang sepatutnya menjadi satu karya yang hebat kerana menceritakan kehebatan kepimpinan menurut Al-Quran diolah dengan begitu rupa. Membaca helaian pertama telah membuatkan aku terpinga-pinga dan maksudnya bagi aku tidak kesampaian. Memang penulisnya masih baru didalam bidang ini (karya pertama) tetapi sepatutnya karya ini lebih baik setanding dengan kulit hadapannya. Aku merasakan aku membaca satu naskah percubaan (Rev: 0) dan amat berharap terdapat Rev 1 yang lebih baik dan PTS (penerbit) menukarkan Rev 0 ini secara percuma bagi menebus kekhilafannya menerbitkan karya mentah (tanpa kajian). Antara kecacatan utamanya adalah contoh yang diberi tidak begitu selari dengan jalan cerita (Contoh: m/s 15), Flow yang tersekat sekat (kurang jelas dan contoh yang lemah) dari satu topik ketopik seterusnya dan satu cerita yang terdapat no rujukan, bagi satu contoh:

M/S 12: Pada musim kekurangan makanan4 (no rujukan juga gagal dikecilkan) dan apabila melihat rujukan:

4) Pada masa kekurangan makanan.

Macam tak payah rujuk.

Buku '21 Kunci Pemimpin Efektif' karya John C. Maxwell memang amat bagus, sememangnya dia merupakan seorang pakar dalam bidang ini. Dibawah aku kongsikan 21 Kunci yang dimaksudkannya:
  1. Karekter: Anda mesti cekal seperti batu
  2. Karismatik: Kadangkala pandangan pertama sudah mencukupi
  3. Komitmen: Membezakan yang melakukan dengan yang hanya berangan2
  4. Komunikasi: Tanpanya anda hanya bergerak seorang diri
  5. Kecekapan: Jika anda melakukan, Mereka pasti akan mengikut
  6. Keberanian: Satu orang yang berani sama seperti sebuah majoriti
  7. Kebijaksanaan: Tiada lagi misteri yang tidak dapat diselesaikan
  8. Fokus: Semakin tajam ia semakin tajam kemahiran anda
  9. bermurah hati: Cahaya lilin anda tidak akan malap apabila menyalakan lilin yang lain
  10. Anisiatif: Tanpanya anda tidak mungkin keluar dari rumah
  11. Mendengar: Bagi menyentuh perasaan mereka, gunakan telinga anda
  12. Keghairahan: Hargai setiap hari dalam hidup anda
  13. Sikap Positif: Jika anda percaya boleh anda pasti boleh
  14. Menyelesaikan masalah: Jangan biarkan masalah anda menjadi masalah
  15. Hubungan yang baik: Jika anda mempunyai hubungan yang baik, mereka akan mengikut anda
  16. Bertanggungjawab: Jika anda tidak sanggup memikulnya, anda tidak layak memimpin
  17. Berpendirian teguh: Kecekapan tidak mungkin dapat menggantikan keyakinan
  18. Disiplin: Orang yang pertama anda harus pimpin adalah diri anda sendiri
  19. Sedia berkhidmat: Bagi terus maju, dahulukan orang lain
  20. Kemahuan hendak belajar: Terus belajar supaya terus dapat memimpin
  21. Visi: Anda tidak dapat kejar apa yang anda tidak dapat lihat

Sabtu, 14 Ogos 2010

Chua Soi Lek tak salah

Agak pedas kenyataan Chua Soi Lek bukan? tetapi siapa yang mampu untuk membuktikan kenyataannya itu satu yang salah? Kita boleh membawa seratus malahan seribu bahan rujukan akan sejarah ketamadunan Islam yang hebat suatu masa dahulu. Apakah ia sudah mencukupi?

Tanpa pergi lebih jauh lihat sahaja kita di Malaysia. Berapa ramai orang Islam yang boleh menjadi pemberi pekerjaan kepada sesama seagama dan yang paling hebat menggaji pekerja dari bangsa lain? agak sedikit bukan? Yang bekerja dangan bangsa lain pulak, "Astagfirrullahhalazim"pemalas "Nauzubillah" dan yang paling malang mereka beragama islam.

Seperti pos aku yang lepas, ini lah sebenarnya yang di bidas oleh Chua Soi Lek bukannya Islam yang sebenar. Bagaimana kita nak menolak kenyataan yang dibuat oleh seorang yang jahil dengan agama agung ini jika kita sebagai penganutnya sendiripun gagal menterjemahkannya dengan sempurna. Amat malang lagi dengan imej Islam yang telah diburukkan oleh Media Massa biayaan Yahudi, contoh dalam negara pun dah 'fail'. Bukan tiada orang melayu yang berjaya (dari kacamata barat) tetapi kehidupan mereka pulak biasanya tak menjurus kearah Islam yang sebenar. Jadilah seolah2 kejayaan mereka kerana sifat Islam Liberal yang dianutinya. Contoh pengurusan melayu? Lihat sahaja Aldwich dan Perwaja.

Kita boleh marah dan kita boleh berarak selepas sembahyang jumaat tetapi ianya tidak dapat membuktikan yang agama agung ini bukan seperti yang digambarkan. Agama bukan sekadar berbicara soal Hudud dikedai kopi (atau yang paling parah sewaktu bekerja) tetapi lebih luas. Kalau mampu cuba jangan kaitkan kemelayuan kita dengan Islam sekiranya ia amat hodoh bagi agama yang indah ini. Janganlah terlalu yakin yang melayu kita sudah hilang apabila kita telah menyertai Parti atau kumpulan yang bersifat islam padahal lebih melayu dari mereka yang tidak menyertainya. Jika mengaku beragama Islam...Islamlah kamu sepenuhnya.

Aku tidak terlebih mulia dari kebanyakan melayu lain yang berada kat luar sana malahan mungkin lebih teruk. Tidak salah sekiranya kita cuba untuk berubah biarpun sedikit demi untuk membersih ludahan ini dan membuktikan secara sah yang agama islam adalah agama yang membawa kesejahteraan didunia dan akhirat.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk berubah.