Isnin, 9 November 2009

Kenapa memusuhi Dr Asri?


Aku tidak tahu dimana silapnya Dr Asri sehingga begitu ditakuti oleh tokoh agama aliran perdana negara. Bagi aku Dr Asri tidak membawa apa2 ajaran yang songsang tetapi mengajar umat Islam Malaysia supaya lebih terbuka. Seperti tulisannya didalam buku Mengemudi bahtera perubahan minda m/s 1

" Islam adalah agama yang dibina di atas hujah dan dalil. Sumber ajaran agung Islam adalah al-quran dan as-Sunnah. Tiada Islam tanpa hujah dan dalil. Segala cakap kosong tanpa alasan tidak layak untuk dikaitkan dengan agama yang suci ini.

Islam adalah agama Allah yang maha Mencipta lagi Maha Mengatahui. Justeru mustahil terdapat dalam ajaran Islam sesuatu yang menyanggahi fakta"

Adakah keterbukaan ini satu kesalahan didalam agama Islam? sepanjang mengikuti tulisannya tidak terdapat sebarang perkara yang berkaitan Akidah yang dimudah2kan oleh beliau seperti tulisannya "Tegas berakidah, Luas dalam Fekah" adalah amat malang buat umat Islam yang terlalu taksud dalam perkara Fekah tetapi mengabaikan Akidah yang sebenarnya menjadi tunjang Islam itu sendiri seperti tulisan beliau

" Perkara ini perlu dijelaskan kerana dalam kalangan umat Islam, termasuk di Malaysia ada yang begitu longgar dalam akidah tapi begitu sempit dalam perkara fekah. Maka kita tidak hairan jika menemui di Malaysia mereka yang berserban atau berkopiah dan begitu takut untuk terkeluar dari mazhab fekah kebiasaannya, namun dalam masa yang sama dia masih percaya kuat kepada bomoh, atau gurunya dianggap ajaib, atau masih percaya tangkal itu dan ini.

Saya pernah melihat kumpulan yang berjubah dan berserban sakan, namun pergi memohon hajat di kubur Pulau Besar Melaka. Pengaruh tarekat yang berlebihan, atau kesufian yang melampau sering menjadikan sesetengah pihak gagal untuk membezakan antara batasan iman dan syirik.

Guru, atau bomoh sering diangkat melebihi kadar yang patut. Walaupun dalam masa yang sama, kita lihat mereka ini begitu menjaga sesetengah amalan fekah, sehingga kelihatan sempit dan beku. Maka tidak pelik di negara kita jika ada imam masjid yang masih kuat pegang dengan bomoh, atau terikut dengan tarikat yang bukan-bukan.

Sepatutnya, dalam isu akidah seseorang hendaklah sensitif dan selalu takut akan segala unsur syirik. Sementara dalam soal fekah, ada keluasan yang diberikan oleh syarak yang boleh kita amalkan, namun ramai orang masih takut dengannya."   

Pemahaman umat Islam yang terlalu takut untuk menyanggah kata2  guru2 Agama yang selama ini kebal disebalik kopiah dan jubah mereka turut ditegur oleh beliau

"Apa saja pandangan tentang Islam yang menyanggahi Al-Quran atau as-Sunnah atau asas-asas kemaslahatan yang digariskan oleh syariat adalah tertolak tanpa mengira siapa pun tokohnya. Maka pendapat setiap orang sekalipun dia mufti, atau tuk guru atau ustaz, boleh diterima atau ditolak kecuali Al-Quran dan Sunnah"




Sebelum Dr Asri, tiada tokoh agama yang berani dan lantang mengkritik dalam menyampaikan dakwah Islam ini, seperti tulisan beliau "Agama bukan candu untuk mengkhayalkan orang miskin" antara petikan artikel ini

" Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.

Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.

Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.

Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.

Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?

Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah"

Didalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini  pada m/s 8 dibawah tajuk "Memahami isu penangkapan Dr Asri" hasil tulisan Yusri Mohamad naib Presiden MAIM, menyatakan bertapa merbahayanya Dr Asri buat umat Islam Malaysia yang selama ini hidup dalam penuh keharmonian  hasil usaha tokoh agama arus perdana. Beberapa alasan yang kurang kuat hujahnya diberikan dan banyak kedangkalan fakta yang aku rasa tidak merujuk pada penulisan Dr Asri tetapi hanya berdasarkan sangkaan buruk semata2. Maaf! jika tidak kerana tulisannya didalam Mingguan Malaysia pada hari ini aku tidak pernah menyedari atau  terbaca artikel beliau dalam membangunkan minda umat Islam Malaysia. (mungkin beliau pernah menulis artikel pasal sejadah berdiri atau mengulas isu bunyi pekikan dari perut bumi tanpa aku sedari). 
Memang aku bukan orang yang layak untuk mengulas isu Dr. Asri tetapi bagi aku agama Islam bukan sepatutnya berada pada keadaan seperti hari ini. Sering disalah ertikan dihina dan tidak membawa kepada kemajuan minda. Aku sudah bosan dengan Ustaz2 yang berceramah menceritakan keburukan orang lain atau kurang memberikan hujah atau fakta yang membina pemikiran umat.


Bagi aku kehadiran Dr Asri amat dialu2kan dalam mengembangkan minda umat islam Malaysia yang telah lama berada dalam ketaksuban dan kekeliruan.

1 ulasan:

Struggling engineer berkata...

Peraturan tetap peraturan....jgn ambik mudah sesuatu peraturan....tiada pengecualian...jadikan iktibar