Aku Melayu,
Kedua ibu bapa aku Melayu,
Datuk dan nenek aku Melayu,
Dan boleh jadi Moyaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaang aku juga Melayu.
Aku tidak pasti apakah kerana faktor ini aku tidak begitu berbakat berniaga.
Minat aku berniaga ni sebenarnya timbul untuk menyahut cabaran idola aku Tun Dr Mahathir. Ianya diperkuatkan lagi dengan membaca kisah-kisah kejayaan orang yang telah bergelar jutawan. Disamping rasa meluat aku pada bos aku yang macam best padahal dia kuli macam aku jugak. Juga apabila terkejut dengan (aku baca dimana aku tak ingat) fakta 70% keuntungan diambil oleh tokey selepas 30% ditolak untuk modal dan gaji pekerja. Kerana faktor-faktor ini aku menanam tekat untuk menceburi bidang perniagaan.
Aku tanpa rasa segan silu ingin memberi tahu aku melangkah ke alam perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual CD lagu dan cerita (berdasarkan pesanan rakan sekerja) yang aku download dari internet. Perniagaan ini tidak memerlukan modal yang besar dan masa yang banyak. Kemudian seiring dengan usia dan ilmu, perniagaan ini aku tinggalkan.
Apabila meninggalkan perniagaan jijik ini aku mula tercari-cari apa yang ingin aku buat seterusnya. Sebagai langkah persediaan aku mula mendekatkan diri dengan buku-buku Motivasi dan kisah kejayaan ahli perniagaan yang popular. Dari sini aku belajar sesuatu, buat apa yang kita minat!
Oleh kerana minat aku adalah pada buku, aku mengambil keputusan untuk mengarang buku. Maka lahirlah 'Pengenalan kepada Loji Kimia'. Pada perancangan awalnya aku ingin menghantar buku ini kepada mana-mana syarikat penerbitan (aku telah menghantar satu naskah berbentuk PDF kepada PTS untuk dipertimbangkan malangnya tiada apa2 jawapan). Tetapi selepas naskah ini berjaya disiapkan dan menerima pelbagai pandangan dari rakan-rakan, hasrat itu aku lupakan. Tetapi aku kini bukan aku yang dahulu lagi, aku kini seorang perniaga yang berilmu. Kegagalan untuk dihantar kepada syarikat penerbitan tidak mematahkan semangat aku. Aku sudah mempunyai strategi yang ampuh. Aku bertekat untuk memasarnya sendiri. Aku meletakkan naskah ini di kedai-kedai buku (alhamdulilLAH permintaan amat menggalakkan dan habis dalam masa seminggu). Aku juga membuat iklan-iklan dan ditampal disekitar Chukai dan Kerteh dan juga menempah iklan dalam Harian Metro. Tetapi selepas hanya 100 naskah terjual aku mula memperlahankan penjualannya. Apa yang aku dapati iklan tidak memberi apa-apa kesan berbanding diletakkan terus dikedai (membenarkan pelanggan membeleknya dahulu dan merasai kehebatannya; ini membenarkan teori Jangan menilai buku dari kulitnya). Masalah yang aku hadapi dalam meletakkan dikedai-kedai adalah kejahilan strategi meletak harga. Oleh kerana harga yang aku tetapkan adalah RM 10 dan turut dijual RM 10, selepas diambil keuntungan oleh pihak kedai keuntungan aku adalah amat minima. (tidak berbaloi untuk teknik penerbitan DIY kecil-kecilan macam aku). Aku pernah didindir oleh seorang mamak "meniaga tak untung, jangan meniaga la" apabila aku meminta bayaran yang lebih sedikit. Ada juga kedai yang menolak buku aku mentah-mentah (malu muka masa tu). Aku mula merasakan ianya tidak berbaloi.
Kemudian meyertai MLM (HPA). Masih berjalan secara amaaaaat perlahan (bonus yang paling tinggi yang pernah dapat RM 150)
Kemudian aku menjual Burger secara kecil-kecilan. Perniagaan ini bungkus kerana faktor masa yang amat menyemburui aku.
Puas aku kaji kenapa aku sentiasa gagal. sehinggalah aku bertemu dengan buku Bongkar Misteri Tarikh Lahir Anda. Didalam buku itu ada menyatakan bagi tarikh lahir aku pekerjaan yang bersesuaian adalah berkaitan dengan perubatan tradisional. Lantas aku mula menyertai kelas-kelas perubatan tradisional sehinggalah aku kini merupakan seorang Jurubekam, Diagnosis melalui angota tubuh dan urutan refleksi/tubuh yang bertauliah (dapat sijil selepas menghadiri kursus selama 1 hari).
Kini bermulalah episod baru aku sebagai pengamal perubatan tradisional. Aku membuat strategi pemasaran dari rumah kerumah. Ianya berjalan dengan lancar (aku pernah mendapat RM 250 semalam) sehinggalah aku dinaikkan pangkat dan bekerja waktu biasa (0830 - 1730 hrs). Hari cuti yang terhad memusnahkan karier aku sebagai jurubekam yang profesional. Pada mulanya aku masih membuatnya pada malam hari dan hari cuti mingguan aku. Kemudian ianya menjadi amat meletihkan aku untuk berkhidmat membekam dan mengurut refleksi dari lepas Isyak sehingga pukul 12 mlm. Aktiviti ini kini diperlahankan.
Orang yang bermotivasi tinggi macam aku ini mana boleh duduk diam. Aku mula merancang untuk membuka gerai Bekam dan Urutan refleksi dipasar tani setiap hari jumaat. Lesen perniagaan telah aku buat, pendaftaran sebagai ahli perniagaan kecil telah aku buat...sayangnya perasaan malu pulak menjadi penghalang. Aku seorang jurutera senior...nanti apa kata orang?
Sewaktu aku sedang berkemas didalam bilik bacaan aku, aku terbelek kembali buku 'Berani Gagal'. Dan aku mengerti kenapa aku selalu gagal. Kerana aku takut untuk gagal dan pekerjaan aku sekarang telah menjamin kehidupan aku seharian. Kenapa aku mesti bersusah payah untuk mendapat keuntungan yang sedikit dengan menebal muka? pada pandangan aku selagi aku bekerja makan gaji selagi itu aku tidak akan berjaya dalam perniagaan.
Walaupun aku selalu tidak bernasib baik (kerana sick-up (sikap) 2m; Malu dan Malas) aku masih menanam tekad untuk membuka perniagaan suatu hari nanti dan berjaya. Kini aku sedang menghabiskan naskah 'Aku tak mahu miskin' yang menceritakan kenapa orang melayu selalu gagal.
InsyaAllah suatu hari nanti aku akan menjadi ahli perniagaan yang berjaya dan menolak mitos jahat "melayu tak pandai berniaga".
Kawan-kawan, Doa kan untuk aku supaya aku berjaya dalam jihad ini.