Sabtu, 27 Disember 2008

Vacuum Pump (Pam Hampagas)


Liq. Ring Vacuum Pump Impeller
Pada pos aku yang lepas aku pernah menulis perihal Steam Ejector, alat yang digunakan untuk mewujudkan persekitaran hampagas (Vacuum). Bagi loji yang tidak mempunyai bekalan Steam yang mencukupi, biasanya Vacuum Pump digunakan untuk mewujudkan keadaan ini. Diatas adalah gambarajah Liquid Ring Vacuum Pump.
Ada Engineer baru bertekak dengan aku dengan mengatakan benda alah ni sebenarnya Compressor. Hujah ini diberikan dengan alasan secara prinsip Pump untuk cecair dan compressor untuk gas. Seorang Jurutera pakar dari India pernah berkata pada aku apabila aku mengutarakan persoalan ini "Saya boleh mewujudkan persekitaran Hampagas jika dibekalkan Centrifugal Pump dan cecair yang boleh mampat".
Jika korang perasan apabila nak menghidupkan Pump jenis ini, injap bagi cecair dibuka dahulu, kenapa? ada seorang jurutera yang kini berkhidmat dengan loji petro kimia dikertih menjawab untuk seal, benar kah?
Korang perasan x dengan nama Pump ni, nama tu bukan sesaja dia bagi tetapi berkenaan dengan fungsi cecair itu sendiri. Secara ringkas:
Impeller Pump ini bukan berada ditengah2 Casing tetapi sedikit keatas untuk memberikan ruang yang luas pada bahagian bawah dan sempit pada bahagian atas. Cecair digunakan untuk menarik gas dgn prinsip centrifugal dan kemudiannya memampatkan gas untuk menghambat gas keluar dari sistem dan mewujudkan tekanan negatif bagi gas dan memaksanya memasuki Pump. Oleh sebab itu aras cecair dikawal bagi memastikan keberkesanan Pump ini lebih baik, keadaan cecair yang berlebihan menyebabkan Pump menjadi kurang berkesan sama seperti keadaan dimana suhu cecair yang tinggi.



Isnin, 22 Disember 2008

Rachun

Kali ini aku akan mempersembahkan sketsa khas buat pembaca blog aku, tajuknya Rachun. Sketsa ni tiada nilai2 moral ataupun berunsur nasihat kerana bagi pengkritik filem Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussein, keperibadian sesuatu filem itu menyampaikan maksud bukannya nak mengajar orang.
Terimalah.....Rachun

Lokasi: tumpahan Kimia didalam Loji
Masa: Awal Shift (0700 hrs)
Watak Utama: Romli
Watak Pembantu: Penyelia (Che' Hussein)
Watak sampingan: Kengkawan Romli

Che' Hussein: "Rom, ada tumpahan kimia kat lokasi T-222"
Romli: "Tumpahan Kimia..teruk ke?"
Che' Hussein: "Tak la berapa teruk Rom, tapi kalau dibiarkan nanti melimpah keluar Loji, bahaya untuk alam sekitar tu!"
Romli: "Ah.. tok sah nak temberang lah Sein...dah 10 tahun aku kerja kat sini dah biasa memde tu tumpah kat situ. Dulu Bos suruh tanam kat belakang kilang je, pasal tak nak hantar ke Bukit Nenas" (Majikan mereka adalah warga asing yang amat pentingkan kebersihan di Negara mereka)
Che' Hussein:"Banyak lah kau punya alasan, cepat datang sini"
Romli: "Rilek la Sein, aku nak mencekik dulu ni"
Che' Hussein: " Okey lah, yang lain mana?"
Kengkawan Romli: "kami pun tengah mencekik"

Selepas 15 minit...
Romli: "Gila kau Sein...nak suruh aku buat kerja ni tanpa Full Face mask, kau nak suruh racun2 ni masuk dalam peparu aku?"
Che' Hussein: " Okey..Okey aku gi amik FFM"
Romli: "Sementara kau nak amik memde tu aku nak isap rokok sekejap"

Selepas 1 jam bekerja...
Romli: Sein...setahu aku, kerja2 macam ni x boleh dilakukan secara berterusan, nanti rosak peparu aku...aku nak berehat sekejap. Jom kengkawan kita gi Isap Rokok"

1 jam sebelum habis Syift...
Romli: "Sein, aku nak pergi mandi dulu...biar orang syift malam sambung. Aku tak nak balik dengan racun kat badan aku...bahaya kat keluarga aku. Kalau mereka sakit bukan kau yang susah"
Kengkawan:"betul tu...!"

Lokasi: Rumah Romli
Isteri Romli: "Abang...kalau nak merokok tu boleh tak kat luar rumah, busuk lah bau asap ni"
Romli: "Bukan boleh mati pun hidu asap rokok ni!"

Tammat.........

Ahad, 14 Disember 2008

Puncanya

Selamat hari raya haji buat semua...!
Sebenarnya aku masih dalam mood nak mencari keghairahan, banyak kata2 atau petikan artikel yang nak aku kongsikan bersama. Biar la dulu, nanti takut ada pulak kata aku nak bersyarah.
Loji aku dalam proses start-up selepas sekian lama ( 2 bulan) berhenti kerana tempias kegawatan ekonomi dunia. Oleh kerana tempoh shut-down yang panjang, banyak kerja2 penyelenggaraan yang dilakukan. Antara perkara yang sering dilakukan untuk menjayakan penyelenggaraan ini adalah menutup sumber pemanas paip atau vessel seperti steam tracing dan coil heating. Bebudak baru yang ditugaskan untuk bukak balik benda ni sering menghadapi masalah.
Disini aku nak turunkan petua yang berguna buat korang:
  1. Bagi sistem pemanas steam, sumber (supply) biasanya datang dari atas dan kembali ke bawah (return). Ini kerana nak elakan Hammering dan memaksimakan pemindahan habanya. Lagi satu line return mesti ada steam trap.
  2. Jika guna air panas, Supply dari bawah dan return kat atas. Ini nak elakan daya graviti yang akan mengurangkan pemindahan haba.
Okey selamat mencuba.

Rabu, 26 November 2008

Ghairah

Dalam kebanyakan buku Motivasi yang aku baca, ada satu perkataan yang kerap digunakan oleh motivator ni untuk menggambarkan sifat orang berjaya: Ghairah!.
Dahulu bagi aku perkataan ni muncul apabila berbicara soal ehem...ehem aje, rerupanya pengertiannya amat luas. Kalau korang suka tengok cerita CSI dan House kat AXN korang akan perasan erti keghairahan ini. Keghairahan Dr. House dan Gill Grissom dalam kerjaya dapat dilihat dengan gambaran sifat didikasi mereka sehingga tiada kehidupan lain lagi.
Dalam situasi semasa loji, sifat ini hanya ada pada pengantin baharu sahaja (pendatang baru). Bila dah bekerja sekian lama dan tercemar dengan pelbagai anasir luar, sedikit sebanyak sifat ini akan pudar. Akan mula kedengaran ayat "gaji aku berapa sen je" "Kerja banyak gaji kecik je" dan mula akan kedengaran ayat2 yang rumput disebelah rumah lebih hijau dari rumput dilaman sendiri.
Bukan pada orang lain, aku sendiri juga menghadapi sindrom kurang ghairah untuk bekerja ni. Dahulu masa satu seminar aku pernah meluahkan masalah aku pada motivator dan jawapannya "dulu masa nak masuk kerja x pikir ke smua ni?" agak kejam bagi aku buat masa tu. Kalau pikirkan betul2, ada kebenaran jugak kata dia. Masa memula kita nak masuk kerja smua kita (kata) sanggup buat seperti kerja lebih masa, memberikan sepenuh komitmen pada kerja dan perbagai lagi janji manis yang hebat2. Masa tu tidak pernah kita terfikir yang sipolan tu amik kita pasal yakin kita akan dapat menambah dan menjaga hartanya dan itulah hakikatnya.
Dalam perpustakaan peribadi aku terdapat pelbagai buku motivasi yang aku beli semata2 nak mendapatkan kembali perasaan ghairah ni. Aku tahu jika Kacip Fatimah tidak mampu menarik ghairah aku, aku mesti mencari Tongkat Ali Hitam asli.
Antara perkara yang aku jumpa ialah kata2:
"Bukan beban yang menghalang kamu tetapi cara kamu membawanya"
dan Teknik Hipnotis diri sendiri.
Oleh itu setiap pagi (jika aku ingat) aku akan berdiri dihadapan cermin dan berkata "Kamu seorang yang hebat (juga kacak) dan banyak perkara yang akan kamu pelajari hari ini" nampak macam berkesan tapi bila aku dah nak mula ghairah terdengar pulak ayat2 "kuat hisap nampak!" (istilah mengampu kat loji aku) langsung abih kecut semuanya.
Minggu lepas aku bercuti dan sempatlah bersantai dan merehatkan fikiran kat Piala Tomoi Tengku Mahkota kelantan. Antara aku perhatikan sifat peninju tomoi ni ialah apabila terkena pukulan lawan mereka akan senyum walaupun sekuat mana pukulan itu. Nampak macam bodoh tapi itulah strategi yang baik. Kebetulan aku terbaca buku pasal Otak, perbuatan itu selain Psyco kat lawan, kita juga hantar signal kat otak bahawa kita boleh menghadapinya (frequensi Alpha) dan otak akan hantar balasan kepada tempat berkenaan supaya bertahan.
Ok...mulai sekarang aku akan tiru gaya peninju2 Tomoi ni, aku akan belasah semua orang yang cuba mengendurkan semangat ghairah aku...bukan dengan penumbuk tapi dengan frequensi Beta aku.


Isnin, 24 November 2008

Apabila kebesaran Allah tiada dalam diri kita

Eropah bergelap di waktu malam, Cordova bercahaya dengan lampu, Eropah kotor, Cordova membina 1000 tempat mandi, eropah dipenuhi serangga, penduduk Cordova menukar pakaian mereka setiap hari, Eropah dipenuhi selut, jalan2 Cordova bertar, istana di Eropah dipenuhi lubang asap dibumbung, bangunan2 di Cordova tersergam indah, tokoh2 Eropah tidak tahu menandatangani nama sendiri, anak2 Cordova sudah ke sekolah, tokoh2 agama di Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian, ulama islam di Cordova sudah membina perpustakaan.
Selepas masa berlalu tiba2 umat islam menjadi lemah bidang sains dan teknologi tidak lagi diminati sedangkan dibarat ia tumbuh dan berkembang seperti kulat. Umat islam asyik berdebat dan berfalsafah dalam perkara ranting yang tidak berfaedah.

Diatas adalah petikan aku amik dari buku Minda Muslim Super tulisan Dr. Danial Zainal Abidin. Sengaja aku selitkan disini bersempena dengan kegusaran yang aku hadapi melihat penerimaan masyarakat akan isu sajak kematian, pengkid dan yoga. Sampai begitu sekali tamparan buat agama Islam yang satu ketika dahulu menguasai 2/3 dari muka bumi ini. Aku nak komen lebih-lebih pun rasa x sedap jugak, maklumlah aku pun bukan pandai sangat.
Teringat aku kata2 member lama aku dari UPM, (aku kenal dia kat KMR kerana sama2 keluar bertabligh selama 3 hari, selepas masuk tahun ke-2 ijazah kejuruteraan, dia tetap kekal dalam jemaah aku join jemaah tak boleh). katanya:

"umat islam dahulu berjaya kerana meletakan matlamat untuk mendekatkan diri kepada Allah, mereka mengkaji dan berfikir untuk mengesakan Allah. Kerana itu pengetahuan mereka sentiasa berkembang hasil hidayah dari Yang maha mengetahui, umat sekarang sesat kerana sentiasa berada dibelakang teori dari barat dan tiada sedikitpun perasaan syukur kepada yang esa melainkan mengagumi Eistein, Newton dan Machiavelli. Kerana itu kita akan sentiasa berada dibelakang padahal setiap teori itu berada dalam hukum akal yang masih boleh ditakwil (berani?). Tamadun terdahulu sebelum adanya semua teori itu lebih maju dan menakjubkan kemudian hancur tidak bersisa kerana engkar akan hukum Allah.
Sedarkah kamu sewaktu di alam roh kita telah berjanji untuk mengesakan Allah kemudian kita dikurniakan jasad dan diturunkan ke dunia untuk merealisasikan janji kita itu. Adakah kamu percaya akan cerita janji Syaitan untuk menyesatkan anak Adam supaya bersamanya ke Neraka? pernahkah Distillation column menjadikan kita lebih dekat dengan Allah atau kita lebih mengagumi Koch glith kerana kebijaksanaan mereka mencipta sesuatu yang umat islam x boleh buat. Apa yang malang umat Islam lebih mendekati Allah apabila melihat kulit siput yang bertulisan Allah yang kemudian disimpan didalam rumah untuk dijadikan pendinding. Selagi kita tidak melihat yang satu dari yang banyak kita akan menjadi umat yang mundur dan menjadi momokan bangsa lain. Ingat sekiranya kebesaran Allah ada didalam diri kita dunia yang kecil ini akan senang kita takluki"

Aku nak komen lebih2 pun x sedap jugak, harap2 member aku dapat betulkan fakta tulisan aku klu dia layari blog aku ni.

Selasa, 28 Oktober 2008

Pemindahan haba

Rajah 1

Rajah 2


Ada satu persamaan mudah yang amat berguna untuk pemahaman tentang asas penukaran haba:

Q = MCp∆T

M= Kadar aliran jisim (g/hr)

Cp= Nilai yang diperlukan untuk menaikan suhu satu unit jisim kepada satu degree (J g-1 K-1)

∆T= Perbezaan suhu

Jadi secara mudahnya:

Q = Tenaga yang dihasilkan oleh perubahan suhu sejumlah aliran jisim

QH = MHCpH(THMasukTHKeluar)

QC = MCCpC(TCMasukTCKeluar)

H – Hot (panas)

C – Cold (sejuk)

Secara teori tenaga yang dibekalkan oleh bahagian panas tidak akan sama dengan yang diambil oleh yang sejuk. Tetapi pada keadaan sebenar ianya dikira sama kerana faktor Insulation yang dipasang.

QH = QC

Cp korang boleh cari dalam buku kerana ia telah tetap bagi setiap unsur (orang dah kaji). Bagi satu persamaan biasanya Q satu bahagian telah ditetapkan dan darinya M dan ∆T yang satu lagi dicari:

Contoh:

Katakan bahagian sejuk (air) korang kadar alirannya adalah 200 g/hr dan perbezaan suhu adalah 10 Kelvin.

Cp untuk air 4.2 J g-1 K-1 dan korang akan dapat, 8400 Joule.

Kemudian bahagian panas pulak korang ada 100 g/hr (air) dan korang boleh cari perubahan suhunya: 20 Kelvin (Dapat X) jadi kalau suhu masuk adalah 350 K suhu keluarnya adalah 330 K @ 57 0C.

Antara contoh kat loji adalah:(Rujuk rajah2) Satu Menara Penyejukan ( Cooling Tower), mempunyai dua kipas. Satu kelompang penukar haba (Heat Exchanger) mendapat QC dari Cooling Tower dengan M dibekalkan oleh dua pump.

Kes 1

Menara penyejukan satu kipasnya dipadamkan.

Oleh kerana kipas adalah alat penyejuk suhu air, suhu air akan meningkat dan ini akan merubah nilai QC pada stream 1. Oleh kerana M dan Cp stream 2 tidak berubah jadi ∆T nya akan berubah (Tmasuk –Tkeluar) T masuk semestinya tidak berubah kerana tiada penukaran haba tetapi T keluar akan berubah.

Kes 2

Satu Pump di matikan.

Ianya sama seperti kes diatas, M pada Qc berubah menjadi sedikit dan memberikan kemampuannya menyerap haba pada stream dua berkurang.

Jadi dekati lah persamaan mudah ini untuk korang menjadi lebih realistik dalam menangani masalah loji seharian, OK. Dulu aku pernah melakukan kesilapan, semasa proses Shut Down apabila satu unit loji telah dipadamkan. Aku mengambil keputusan mematikan satu pump pada Cooling Tower dengan alasan penjimatan tenaga. Hasilnya Header cooling tower aku telah pressurize, mujurlah ada juruteknik senior (En. Zafreena) yang membantu membuka vent pada paip header tersebut.

Contoh lain:(Rujuk rajah 1) Perkara ini kerap berlaku pada Distillation column, antara kata kunci bagi masalah ini adalah suhu T2 yang terlalu tinggi atau M2 terlalu sedikit kerana level rendah ataupun Steam trap rosak menyebabkan M1 menjadi rendah....Lu pikir la sendiri!


Jumaat, 3 Oktober 2008

Blower Surging

Dalam loji ada satu alatan yang melakukan tugasan Blowjob (kerja menghembus) dan ia dikenali sebagai Blower. Alat ini adalah antara alat pengangkutan bendalir (gas) seangkatan dengan Kipas dan compressor. Beza kipas dan blower pada kapasiti udara yang mampu di hembusnya manakala Compressor pulak membekalkan udara bertekanan tinggi.
Kat loji aku Blower ni digunakan untuk mengangkut udara ke reaktor bagi proses pengoksidaan bahan kimia utama. Seperti yang korang sedia maklum loji aku mengalami krisis tenaga kerja kerana proses Osmosis diantara loji kimia kat Malaysia dan kat negara Arab, jadi bahagian Utiliti juga tak terkecuali. Suatu hari semasa Start-up Tarmizi (bukan nama sebenar) dapati Aliran Inlet ke Blower menurun dan tekanan Discharge telah naik, keadaan ini telah menyukarkan Tarmizi untuk meningkatkan aliran udara kereaktor seperti yang diharapkan. Apabila Tarmizi mengarahkan Operator utiliti untuk memeriksa keadaan Blower, operator tersebut menyatakan terdapat bunyi bising yang melebihi keadaan biasa pada unit blower. Oleh kerana operator utiliti ini dan Tarmizi kurang berpengalaman mereka tidak dapat menilai dengan cepat keadaan yang berlaku; Blower telah surging.

Kalau korang nak tahu apa yang akan berlaku pada Blower jika keadaan ini dibiarkan berlaku;

Cuba korang buat Blowjob dengan mulut korang (kerja menghembus) dan kemudian suruh kawan korang menutup mulut korang secara mengejut. Apa yang berlaku pada otot pipi korang dan anak tekak korang agak sama seperti yang berlaku pada blower. Yang berbeza blower mempunyai mekanisma mekanikal yang kurang fleksibel berbanding mulut korang.

Biasanya setiap blower telah mempunyai mekanisma khusus bagi mengatasi masalah ini, spt paip venting pada bahagian discharge.
Jika pump harus dielakkan dari cavitate maka blower harus dielakkan dari surging.

Isnin, 29 September 2008

Selamat Hari Raya

Tahun ni aku sepatutnya beraya kat tempat kerja, kebetulan hari raya pertama dan kedua kena pada syif siang aku. Lagi seminggu nak raya pihak pengurusan mengambil keputusan nak shut down loji selama 14 hari. Bukan pasal nak sambut raya tapi pasal gudang dah penuh kerana pemintaan pelanggan yang berkurangan. Jadi dapatlah aku bercuti untuk berhari raya.

Aku mendapat banyak komen yang positif dan negatif dari rakan2 berkenaan dengan blog aku ni, yang paling hebat...blog sembang picisan jurutera.

Pada permulaan nak buat blog ni ada timbul perasaan malu dan rendah diri jugak, ye lah ilmu tak seberapa nampak macam berlagak pulak. Ada jugak member2 yang menempelak aku pasal buat blog yang tak power ni.
Sebenarnya blog aku ni bukan aku nak tujukan pada lulusan luar negara yang kini bertugas sebagai perunding kejuruteraan bagi syarikat besar serata dunia. Aku tujukan pada mereka yang baru nak bertapak dalam bidang pemprosesan kimia dan masih tercari -cari frekuensi yang betul untuk memulakan tugas. Dengan mengambil pengalaman aku sewaktu memula bertapak dalam bidang ini...lost.
kebanyakan perkara aku dapati dengan belajar dari kesilapan, melalui orang lama dan pembacaan yang aku rasa mereka orang baru sepatutnya tahu akan aku masukan kedalam blog aku ini..InsyaAllah!
Prinsip aku amat mudah iaitu, hasil kesilapan seorang jurutera yang x seberapa power macam aku melahirkan keterbukaan minda seorang jurutera atau tenaga kerja muda.
Bagi aku blog yang x power ni jika mampu membawa seorang jurutera atau tenaga kerja loji pemprosesan untuk mencari sumber rujukan semata2 nak buktikan yang tulisan aku adalah picisan, ianya sudah cukup bermakna buat aku.
Selamat hari raya...maaf zahir batin.

Sabtu, 20 September 2008

Terpesong


"Misdirection is the greatest weapon of our professional magicians. If they fool you, it is not because the hand is quicker than the eyes, but because they make you think along the wrong lines"
- Harry Lorayne; Secret of mind power-

Kali ini aku nak berkongsi dua cerita perihal terpesong dalam mencari punca permasalahan (Trouble Shooting).


I

Korang sila rujuk rajah 1 kat atas:
Azmi (bukan nama sebenar) seorang jurutera pengeluaran muda disebuah loji pemprosesan kimia. Suatu hari dipenghujung syifnya alarm High bagi sebuah tangki telah teraktif pada DCS. Pada minggu sebelumnya tangki yang sama telah mengakibatkan loji terpaksa diberhentikan selam 12 jam kerana discharge bagi pump telah tersumbat dengan teruk.
Sebagai seorang jurutera yang bertanggungjawab, Azmi telah mengarahkan seorang juruteknik baru (kurang dari 6 bulan) melakukan aktiviti Flushing pada bahagian discharge pump tersebut. Apabila aktiviti Flusing dijalankan kesemua petanda yang bahagian tersebut tidak tersumbat amat jelas. Ianya amat memeningkan kepala Azmi, kemudian alarm HH pula teraktif dia menjadi semakin panik, terbayang kini laporan yang bakal disampaikan kepada PM kenapa ia tidak bertindak lebih awal (sewaktu aras tangki 50%). Kemudian datanglah juruteknik lebih senior dan masalah selesai dengan serta merta.

Penyelesaiannya: Pump dihidupkan

Permasalahan sebelumnya yang mengakibatkan loji diberhentikan selama 12 jam telah memesongkan perhatian Azmi kepada sumber utama pengangkutan bendalir ini.

II
Rujuk rajah 2:

Satu Cecair yang bersuhu 120 C dari Distillation Column telah melalui satu Cooler bagi menurun suhunya kepada 98 C. Kemudian cecair tadi telah memasuki satu tangki simpanan semantara. Bagi memastikan cecair tadi berada pada suhu 100 - 98 C, tangki simpanan ini telah dibekalkan stim 4 bar sebagai sumber pemanasannya.
Suatu hari suhu didalam tangki telah turun secara berterusan. Apabila sistem stim diperiksa dengan membuka Upstream drain bagi perangkap stim, didapati tiada condensate yang memasuki sistem. Kemudian bendalir penyejukan bagi Cooler telah dikecilkan (throttle) bagi menaikan suhu inlet ke tangki tetapi tidak berjaya mengekalkan suhu cecair kepada suhu yang dikehendaki.
Terdapat pandangan yang agak ektrim untuk menaikan tekanan stim kepada 4.5 bar atau suhu outlet dari distillation Column dinaikan dengan menaikan tekanan column.

Penyelesaiannya: Sewaktu juruteknik Elektrik melakukan pemeriksaan rutin dia mendapati Amp bagi agitator sistem ini terlalu rendah; Agitator tidak berfungsi kerana kerosakan Gearbox yang akhirnya menyebabkan ia terasing (decouple) dari motor.

Kerana fikiran telah terpesong dengan kata kunci SUHU, semua jalan penyelesaian yang difikirkan adalah melibatkan sumber suhu. Tiada siapa yang menyiasat samada shaft agitator berpusing atau tidak setelah mendengar bunyi deruman motor.